BERITA SEMASA

Malaysia peroleh kemenangan penting lawan ‘tuntutan palsu’ pihak dakwa waris Kesultanan Sulu

CYBERJAYA – Mahkamah Rayuan Perancis telah membatalkan anugerah sebanyak AS$14.94 bilion (RM68.83 bilion) oleh Mahkamah Timbang Tara Paris kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (pihak Kumpulan Sulu), pada Selasa.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini merupakan kemenangan penting Malayisa terhadap pewaris yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu itu.

Keputusan tersebut bermaksud, pihak yang menuntut tidak boleh bergantung pada anugerah palsu di Perancis untuk sebarang tujuan.

“Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan cabaran Malaysia terhadap anugerah separa yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Gonzalo Stampa dalam kes yang dibawa oleh pihak Kumpulan Sulu,” katanya.

“Mahkamah Rayuan Paris mendapati penimbang tara tersilap mengekalkan bidang kuasanya,” kata Azalina dalam satu kenyataan, malam tadi.

Azalina berkata, Malaysia sedang berusaha untuk membatalkan anugerah yang direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, yang sepatutnya membawa kepada kegagalan usaha penguatkuasaan global pihak yang menuntut.

Beliau berkata, keputusan itu, yang muktamad dan mengikat, adalah kemenangan yang menentukan Malaysia dalam usaha mencari remedi undang-undang berterusan, yang akan mengakibatkan kekalahan menyeluruh bagi pihak yang menuntut dan pembiaya mereka.

Pada Februari 2022, mahkamah timbang tara Perancis yang dipengerusikan oleh Stampa mengarahkan Putrajaya membayar AS$14.94 kepada keturunan sultan Sulu yang terakhir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button