BERITA SEMASA

Tony Pua nafi kaitan dengan syarikat terima kontrak RM4.53 juta Tabung Haji pada 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat teknologi Cyber Village Sdn Bhd (CVSB) yang menerima kontrak bernilai RM4.53 juta daripada Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2019.

Pua menjelaskan beliau telah menjual semua pegangan sahamnya dalam syarikat berkenaan pada 2007, iaitu 12 tahun sebelum kontrak tersebut dianugerahkan.

“Saya langsung tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kontrak yang diberikan oleh Tabung Haji kepada Cyber Village,” katanya memetik laporan FMT.

Terdahulu, portal itu melaporkan telah melihat salinan perjanjian kontrak bertarikh 31 Disember 2019 yang dimeterai antara CVSB dan TH bagi menyediakan perkhidmatan dalam talian, termasuk pembangunan laman sesawang serta aplikasi mudah alih untuk agensi berkenaan.

Isu itu menjadi perhatian selepas beberapa imej dokumen kontrak berkenaan tular di media sosial.

Salah satu imej tersebut memaparkan senarai pemegang saham CVSB yang turut mengandungi nama Tony Pua.

Susulan itu, beberapa pengguna media sosial mendakwa syarikat berkenaan dimiliki oleh Silverlake Axis, sebuah syarikat perisian yang berpangkalan di Singapura dan dikatakan dikawal oleh individu bukan Islam.

Mengulas dakwaan itu, Pua berkata pelantikan CVSB dibuat berdasarkan keupayaan syarikat tersebut yang merupakan antara peneraju dalam penyediaan penyelesaian perbankan internet di Malaysia.

“Silverlake Axis ialah sebuah syarikat Malaysia yang disenaraikan di Bursa Singapura,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button