TH-BUMITRA anjur karnival haji, umrah akhir bulan ini di Movenpick Hotel KLIA
KUALA LUMPUR – Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ke-4 (KHUP4) bakal menjadi tumpuan umum hujung bulan ini apabila Lembaga Tabung Haji (TH) bersama BUMITRA Malaysia menganjurkan program berskala besar itu di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), Sepang.
Acara yang diadakan pada 28 hingga 30 November dan memasuki edisi keempat itu menyediakan platform menyeluruh kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat tepat, telus dan terkini mengenai pakej haji, umrah serta pelancongan yang ditawarkan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah seliaan TH.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata, KHUP4 bukan sekadar pameran, sebaliknya medan perkongsian ilmu, pengalaman dan komuniti yang membantu bakal haji membuat pilihan pakej mengikut kemampuan serta keselesaan masing-masing.
Antara Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang ada termasuklah Rayhar Travels yang menawarkan pakej haji swasta untuk musim haji 1447H.
Beliau berkata, TH meluluskan lesen PJH bagi musim haji 1447H kepada tiga agensi pelancongan baharu, iaitu Citra Travel & Tours Sdn. Bhd., Glocal Travel & Tours Sdn. Bhd. dan MKM Ticketing Travel & Tours Sdn. Bhd. menjadikan keseluruhan 34 PJH berlesen bagi musim berkenaan.
“Pilihlah pakej haji dan kita berharap supaya mereka mendapat maklumat yang
betul berkaitan dengan pakej-pakej yang disediakan oleh syarikat-syarikat yang telah kita senaraikan.
“Dalam masa yang sama, kita juga ingin memberi maklumat dan juga pengetahuan
kepada orang ramai inilah syarikat-syarikat yang telah disenaraikan oleh TH dan mana-
mana syarikat yang lain selain kita yang telah kita senaraikan adalah tidak dibenarkan mengelola haji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Majlis Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ke-4 (KHUP 4) di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, antara pengisian menarik KHUP4 termasuk Program Bual Bicara dan Podcast TH; persembahan nasyid oleh Raihan, Inteam dan Mawi; penampilan Omar & Hana; cabutan bertuah dan bazar karnival.
Selain itu, pelbagai pakej ekonomi di bawah RM55,000 turut ditawarkan oleh PJH berlesen. Orang ramai juga boleh merujuk e-Brosur Pakej Haji 1447H/2026M melalui laman rasmi TH.
Menurut Mohd Hisham, karnival ini penting untuk memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai syarikat-syarikat yang sah di bawah Akta Tabung Haji, sekali gus mengelakkan penipuan dan skim tidak berlesen yang menawarkan visa haji tidak sah.
“Kerajaan Arab Saudi menekankan bahawa tiada haji tanpa visa sah. Kita tidak mahu rakyat terperangkap, ditipu atau terkandas kerana menggunakan visa selain visa haji,” katanya.

Beliau turut menjelaskan KHUP4 menampilkan pengisian kesihatan, termasuk kerjasama dengan klinik dan IJN, simulasi ibadah, aktiviti keluarga serta pembukaan galeri haji yang mempamerkan sejarah perkembangan pengurusan haji di Malaysia.
Kolaborasi strategik TH dan BUMITRA, katanya, telah berlangsung dengan baik sejak empat tahun lalu, membantu mempromosikan PJH berlesen serta memperkukuh ekosistem haji negara.
Sebagai rekod, KHUP edisi lalu menarik lebih 21,000 pengunjung dan mencatat transaksi melebihi RM500 juta.
Dalam pada itu, Mohd Hisham berkata, TH menyasarkan sambutan serupa atau lebih baik tahun ini, seterusnya merancakkan industri haji, umrah dan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








