TH jual semua pegangan saham dalam Theta Edge
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) secara rasmi menamatkan penglibatannya dalam Theta Edge Bhd selepas menjual keseluruhan 27.28 peratus pegangan melibatkan 32.18 juta saham dalam syarikat penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu pada 2 Januari lalu.
Theta Edge dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penjualan tersebut menandakan pengunduran sepenuhnya pengurus dana jemaah haji berkenaan daripada struktur pemilikan syarikat itu, memetik laporan Sinar Online.
Susulan transaksi berkenaan, Stealth Solutions Sdn Bhd kini muncul sebagai pemegang saham terbesar baharu Theta Edge selepas memperoleh jumlah saham yang sama menerusi transaksi luar pasaran pada hari yang sama.
Berdasarkan rekod Bursa Malaysia, TH merupakan pemegang saham utama Theta Edge sejak tahun 2000, ketika syarikat itu masih dikenali sebagai Lityan Holdings Bhd sekali gus menjadikan tempoh pelaburan tersebut menjangkau lebih dua dekad.
Selain Stealth Solutions, satu lagi pemegang saham utama Theta Edge ialah Kumpulan Berjaya milik Tan Sri Vincent Tan yang memiliki 15.38 peratus pegangan melalui REDtone Digital Bhd.
Theta Edge merupakan syarikat yang menyediakan pelbagai penyelesaian ICT termasuk perkhidmatan rangkaian, keselamatan siber dan infrastruktur digital, dengan pelanggan terdiri daripada sektor awam dan swasta.
Dalam perkembangan berkaitan, Theta Edge turut memaklumkan kepada Bursa Malaysia mengenai peletakan jawatan dua pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif iaitu Nik Johaan Nik Hashim dan Datuk Dyg Sadiah Abg Bohan, berkuat kuasa serta-merta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








