RCI Tabung Haji: Anwar mahu siasatan jika ada salah guna kuasa
JELEBU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kerugian atau berlaku penipuan membabitkan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) perlu berdepan tindakan undang-undang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, isu berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berdasarkan bukti sebelum sebarang tindakan diambil.
Menurutnya, siasatan boleh dilakukan oleh agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia dan pihak berkaitan.
“Kalau ada bukti, dakwa, biar masuk mahkamah dan biar masuk penjara kalau salah. Itu aturan negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis Minum Petang bersama Anwar Ibrahim di Simpang Durian di sini petang semalam.
Semalam, RCI mengenai pengurusan dan operasi TH mendapati beberapa keputusan penting institusi itu termasuk berkaitan agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) dipengaruhi unsur politik.
Menurut laporan yang diterbitkan semalam, penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH antara 2014 hingga 2018 telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat serta membuka ruang kepada campur tangan politik dalam proses membuat keputusan.
Selain itu, RCI turut mengesyorkan usaha dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang diberikan kepada ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan TH Properties Sdn Bhd kerana bayaran berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Bonus berjumlah RM1.148 juta dibayar kepada Lembaga Pengarah TH Properties bagi tahun 2017, manakala RM1.045 juta lagi dibayar pada 2018.
Menurut laporan itu lagi, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017 jika piawaian pelaporan kewangan digunakan sepenuhnya, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak mahu membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada proses undang-undang.
Baca juga : Azeez Rahim sedia disiasat semula jika dakwaan ‘sakau’ dalam RCI TH benar
Anwar berkata, kerajaan mahu memastikan pengurusan negara bebas daripada kerosakan, penipuan dan salah guna kuasa.
“Saya hanya nak jaga negara ini, jangan ada kerosakan dan penipuan,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai keputusan mesyuarat Kabinet berkaitan isu berkenaan dan berkata, laporan berkaitan perlu dilihat berdasarkan fakta serta keputusan pihak berkuasa.
Katanya, pihak yang melakukan kesalahan perlu bertanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau pengaruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















