
NIMP 2030 landasan utama negara ke arah industri berteknologi tinggi
PUTRAJAYA – Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dilancarkan Jumaat ini bakal menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NIMP 2030 akan memberi tumpuan kepada anjakan serta membuka ruang lebih luas untuk negara.
“Tidak hanya memutuskan kepada sesuatu sektor sahaja tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia sebagai negara industri dengan teknologi tinggi, transformasi digital selain memberi manfaat kepada ratusan ribu anak muda dalam bidang pekerjaan baharu,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Tambah Anwar, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini Malaysia kembali menjadi tumpuan syarikat gergasi dunia yang bersetuju menjadikan negara ini sebagai hab pelaburan penting.
“Bagi kita (pelaburan luar) sangat penting kalau ia dapat diteruskan. Malaysia boleh memaknai kemerdekaan itu di mana setiap anak muda dijamin kerja dan tidak menganggur,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, kerajaan sedang merangka untuk melakukan perubahan di dalam sistem upah serta pelaksanaan gaji penjawat awam.
“Bagi sektor swasta pula, kita memperkenalkan satu kadar upah yang lebih progresif supaya ia tidak sama dengan gaji lama,” jelasnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








