Gaji warga Pakistan tanpa permit, doktor didenda RM10,000
JOHOR BAHRU – Seorang doktor didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggaji seorang lelaki warga Pakistan tanpa permit kerja yang sah di sebuah poliklinik.
N. Vigneswaran, 44, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, namun menjelaskan bayaran itu.
Hukuman dijatuhkan Majistret Nur Zihan Abdul Rehman selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Mengikut pertuduhan, Vigneswaran didakwa menggaji Adnan Khan, 34, tanpa permit kerja yang sah di sebuah poliklinik di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, kira-kira pukul 1.44 pagi pada 18 Oktober lalu.
Dalam prosiding berasingan, Adnan turut didenda RM10,000 oleh Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini.
Bagaimanapun, lelaki itu gagal membayar denda berkenaan dan diperintahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang.
Adnan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada tarikh dan masa sama.
Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan sepasukan polis bersama anggota Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) ketika Adnan sedang memberikan konsultasi kepada pesakit di poliklinik berkenaan.
Ketika serbuan dilakukan, Adnan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
Semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen kemudian mendapati lelaki itu tidak mempunyai permit kerja yang sah untuk berada dan bekerja di negara ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman, Izdhiyah Zahirah Mohd Ghazali dan Adilah Farzana Che Ad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














