JENAYAH & MAHKAMAH

Pemilik bengkel dikaitkan kes van jenazah didenda RM1,800

KLANG – Pemilik bengkel yang sebelum ini menjadi tumpuan selepas penemuan sebuah van jenazah sehingga dikaitkan dengan sindiket curi kenderaan didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Afsar Shah, 28, selepas lelaki warga Pakistan berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Afsar didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sebuah premis berpagar zink tanpa nombor dan nama di Bukit Kapar, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 7.20 malam pada 7 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil (Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian) (MPK) 2007 dan boleh dihukum di bawah Undang-Undang Kecil 39 undang-undang kecil sama.

Peruntukan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam Mark Jeyakumar berkata anak guamnya memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

“Anak guam saya sebelum ini menyerah diri ke balai polis untuk kes lain membabitkan curi kereta. Siasatan diselesaikan dengan dia bukan merupakan suspek utama.

“Dia juga telah direman 15 hari dan tempoh itu ibarat hukuman kepadanya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Sebelum ini, polis memaklumkan belum dapat mengesahkan premis berkenaan mempunyai kaitan dengan mana-mana sindiket tertentu susulan hanya dua warga Pakistan ditahan, masing-masing dipercayai pemilik dan pekerja bengkel berkenaan.

Bengkel itu sebelum ini tular selepas beberapa kenderaan yang dipercayai dicuri ditemukan di premis berkenaan, termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik syarikat pengurusan jenazah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button