BERITA SEMASA

Kimberly Bong pilih Islam, buka lembaran baharu kehidupan

KUALA LUMPUR – Bekas penerjun negara, Kimberly Bong Qian Ping, membuka lembaran baharu dalam kehidupannya selepas mengumumkan telah memeluk agama Islam sejak Julai lalu.

Perkongsian itu dibuat Kimberly menerusi Instagram dengan meluahkan rasa syukur terhadap keputusan yang disifatkannya sebagai antara detik paling bermakna pernah dilalui.

“Never been prouder of the decision I made in July. Truly one of the most special moments. Alhamdulillah,” katanya dalam perkongsian berkenaan.

Menurut Awani, penghijrahan tersebut berlaku selepas beliau menamatkan kariernya dalam sukan terjun pada 2024, sekali gus mengakhiri perjalanan hampir 15 tahun sebagai atlet yang pernah membawa nama negara di pentas antarabangsa.

Kimberly yang sinonim dengan acara 3 meter papan anjal dan platform 10 meter mula mendapat perhatian ketika berusia 14 tahun selepas membuat penampilan di Kejohanan Grand Prix (GP) Terjun FINA Australia pada 2016.

Antara pencapaian terbaiknya termasuk membantu Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA dan Terbuka Malaysia pada 2023, selain menyumbang pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA 2021 serta 2017.

Dalam pada itu, kehidupan peribadi Kimberly turut menjadi perhatian apabila dia dilaporkan bakal mendirikan rumah tangga dengan bekas penyerang skuad Bawah 23 (B23) negara, Danial Asri, yang kini beraksi bersama kelab DPMM.

Perkongsian mengenai penghijrahan dan fasa baharu kehidupannya itu mendapat reaksi positif peminat yang mengikuti perjalanan bekas atlet negara berkenaan selepas bersara daripada dunia sukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button