LUAR NEGARA

Aktivis Itali peluk Islam dalam tahanan Israel

ISTANBUL – Detik getir ketika ditahan rejim Israel membawa sinar hidayah buat seorang aktivis Itali, Tommasa Bortolazzi apabila beliau memeluk Islam secara sukarela.

Bortolazzi, salah seorang peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang ditemu bual wartawan di Istanbul selepas dibebaskan berkata, keputusan itu lahir daripada hatinya sendiri setelah melalui pengalaman mencabar bersama aktivis lain di penjara Zionis.

Tommasa Bortolazzi
Bortolazzi bercakap kepada pemberita mengenai pengalamannya sebaik tiba di Istanbul.

“Saya berada dalam misi ini kerana percaya ia perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk rakyat Palestin dan juga negara saya.

“Kami tidak boleh berdiam diri melihat pembunuhan beramai-ramai terus berlaku.

“Di dalam penjara, hari-hari terakhir sangat sukar. Rakan-rakan saya dari Turkiye hampir semuanya Muslim dan kami menghadapi detik mengerikan bersama.

“Ada ketakutan kerana kami mempertaruhkan nyawa, tetapi kami tetap bersatu,” katanya kepada agensi berita Anadolu yang menyiarkan rakaman temu bual berkenaan di media sosial.

Menurutnya, pengalaman itu menguatkan tekad untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup.

“Pagi tadi, ketika rakan-rakan mahu solat, polis dan tentera Israel masuk lalu menghalang mereka. Saat itu, saya merasakan ada keperluan untuk menentang tindakan itu.

“Kemudian, saya bersama sahabat mengucapkan kalimah syahadah. Saya pilih Islam untuk diri saya. Rasanya seperti bayi yang baru lahir dan saya sangat gembira,” katanya.

Bortolazzi menegaskan, keputusannya memeluk Islam bukan sekadar reaksi spontan, tetapi lahir daripada pengalaman langsung menyaksikan ketabahan umat Islam dalam berdepan penindasan.

Global Sumud Flotilla
Lebih 400 aktivis menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla untuk memecah kepungan rejim Zionis di Gaza.

Beliau turut menyatakan harapan agar lebih banyak negara bebas dan demokratik bangkit menentang kezaliman Israel.

Dalam rakaman sama, seorang aktivis lelaki menceritakan bagaimana Bortolazzi bertanya kepadanya sama ada Allah akan menerimanya sebagai Muslim meskipun dirinya bertatu.

“Saya menjawab ya, lalu membimbingnya mengucap dua kalimah syahadah. Malah, semasa di dalam kereta penjara, dia mengulanginya bersama saya. Maka, dia menjadi Muslim,” katanya.

Rakaman video yang memperlihatkan Bortolazzi berkongsi pengalamannya itu tular di media sosial, dengan ramai netizen menyambut berita keislamannya sebagai bukti bahawa hidayah Allah hadir dalam apa jua keadaan.

Misi GSF sebelum ini menyaksikan seramai 497 aktivis dari lebih 44 negara ditahan tentera Israel ketika berusaha memecahkan kepungan laut Gaza yang sudah berlanjutan selama 17 tahun bagi menghantar bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button