BERITA SEMASALUAR NEGARA

PBB, kerajaan dunia digesa pastikan keselamatan delegasi Global Sumud Flotilla

PUTRAJAYA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan dunia digesa segera memastikan keselamatan semua delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang sedang belayar ke Gaza bagi memecahkan sekatan haram Israel.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam kenyataannya menegaskan bahawa jaminan keselamatan adalah penting kerana flotila tersebut membawa bantuan asas termasuk makanan, ubat-ubatan serta keperluan lain untuk rakyat Palestin yang kini berdepan bencana kemanusiaan akibat kekejaman rejim Zionis.

MAPIM menggesa PBB dan kerajaan dunia menjamin keselamatan delegasi kemanusian Global Sumud Flotilla ke Palestin. 

Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, misi bersejarah itu merupakan gabungan masyarakat sivil antarabangsa, aktivis, profesional perubatan serta pejuang hak asasi manusia yang bersatu di bawah semangat Sumud iaitu simbol ketabahan, maruah dan komitmen terhadap keadilan Palestin.

“Global Sumud Flotilla adalah misi aman yang mematuhi undang-undang antarabangsa serta hak maritim.

“Sebarang cubaan menghalang, menyerang atau mensabotaj misi ini adalah pencabulan terhadap prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya.

Beliau menegaskan, jika Israel sekali lagi melakukan serangan atau tindakan lanun terhadap flotila ini, sebagaimana yang pernah berlaku hingga meragut nyawa aktivis kemanusiaan, maka dunia mesti meminta mereka bertanggungjawab.

Dalam pada itu, MAPIM turut menyeru kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media serta masyarakat antarabangsa supaya berdiri teguh menyokong delegasi flotila, menuntut laluan selamat konvoi bantuan dan mengecam sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button