BERITA SEMASA

GSF akan adakan sidang media khas malam ini

Terima maklumat risikan “serangan ganas" dalam tempoh 48 jam

CYBERJAYA – Penganjur Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang dalam perjalanan ke Gaza akan mengadakan satu sidang media tergempar berhubung apa yang disifatkan sebagai kemungkinan serangan Israel terhadap konvoi berkenaan.

Kumpulan itu berkata, mereka menerima maklumat risikan yang menunjukkan “serangan ganas secara langsung” boleh berlaku dalam tempoh 48 jam, berpotensi menenggelamkan bot serta mencederakan atau membunuh peserta.

“Memandangkan ancaman ini, jawatankuasa pemandu flotila telah mengambil langkah berjaga-jaga segera bagi mengutamakan keselamatan peserta.

“Penganjur akan memberi taklimat kepada pihak media mengenai situasi keselamatan, implikasi undang-undang, dan pelan flotila selepas ini,” katanya.

Sidang media itu akan diadakan menerusi Zoom pada pukul 9 malam ini (waktu Malaysia).

GSF berkata orang awam yang menjalankan misi kemanusiaan adalah dilindungi di bawah Konvensyen Geneva dan undang-undang maritim antarabangsa.

Ia menambah bahawa sebarang serangan atau halangan terhadap GSF merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan mencabar perintah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menghendaki Israel memudahkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button