BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kapal misi GSF dijangka masuk zon merah 9 malam ini

SEPANG – Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki Zon Merah 3 iaitu 100 batu nautika dari Gaza bermula pada jam 9.00 malam ini waktu Malaysia.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tiada pintasan fizikal berlaku dan seluruh delegasi berada dalam keadaan selamat serta berjaga-jaga.

Walau bagaimanapun, beliau mengesahkan laporan cubaan intimidasi dari kapal tentera yang diyakini milik pihak rejim terhadap dua buah kapal flotilla.

“Kapal tersebut mengelilingi Alma dan Sirius dan dilaporkan menganggu sistem komunikasi di atas kapal, termasuk siaran litar tertutup (CCTV),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, SNCC mengesahkan terdapat aktiviti dengan anggaran 10 dron terbang dalam formasi mencurigakan mengelilingi ruang flotilla.

“Siaran langsung CCTV dari atas kapal telah mula disiarkan di laman rasmi www.sumudnusantara.com untuk disaksikan masyarakat dunia sebagai rakaman bukti sekiranya berlaku sebarang insiden,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Sani berkata, enam sukarelawan Sumud Nusantara akan diterbangkan pulang dari Greece ke Malaysia untuk menyambung tugas di SNCC, di sini.

Jumlah itu katanya, melibatkan lima warga tempatan serta seorang warga Brunei yang dijangka tiba di tanah air pada malam esok.

Mereka yang diterbangkan pulang ialah Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan warga Brunei, Rezahmaisalamah Md Yusof.

Selain itu, Sani Araby berkata, terdapat dua lagi sukarelawan Malaysia, iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad akan dihantar ke Amman, Jordan untuk membantu kumpulan perundangan sekretariat membuat persediaan.

“Ini adalah sebahagian proses penstrukturan peranan pada 28 September lalu, susulan empat kapal flotila yang mengalami kerosakan teruk dan tidak berupaya meneruskan pelayaran.

“Jumlah terkini delegasi Malaysia yang belayar ke Gaza adalah seramai 23 orang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button