Kapal misi kemanusiaan ke Gaza disyaki diserang dron di Tunisia
TUNIS – Sebuah kapal yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) membawa aktivis pro-Palestin dan bantuan kemanusiaan ke Gaza dilaporkan disyaki diserang dron ketika berlabuh di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia awal pagi ini.
GSF memaklumkan kapal dikenali sebagai ‘Family Boat’ yang berlayar di bawah bendera Portugal, mengalami letupan dan kebakaran kecil namun kesemua enam anak kapal serta penumpang dilaporkan selamat.
“Letupan berlaku akibat bahan pembakar yang dipercayai dilepaskan daripada dron, menyebabkan kebakaran selama kira-kira lima hingga enam minit. Mujurlah kebakaran berjaya dipadamkan tanpa sebarang kecederaan,” kata seorang anggota GSF dalam video yang dimuat naik ke media sosial rasmi kumpulan itu.
Antara yang berada di atas kapal ketika serangan termasuk aktivis hak asasi dari Jerman, Yasemin Acar, aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg serta pejuang sosial Brazil, Thiago Avila.
Aktivis Palestin, Saif Abukeshek yang juga anggota jawatankuasa pemandu GSF, mendakwa Israel bertanggungjawab atas serangan itu.
“Tiada pihak lain yang akan melakukan jenayah sebegini kecuali Israel. Mereka sanggup menyerang flotila aman yang bertujuan membawa bantuan ke Gaza. Namun kami tidak akan berhenti.
“Kami akan teruskan misi ini sebaik sahaja keselamatan kapal dan kru dipastikan,” katanya lagi.
Serangan itu mengundang reaksi antarabangsa termasuk daripada Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin, Francesca Albanese yang menyeru perlindungan segera diberikan kepada flotila tersebut.
Sementara itu, David Adler, penyelaras bersama Progressive International, memaklumkan ratusan orang awam Tunisia berkumpul di pelabuhan Sidi Bou Said sebagai tanda solidariti dengan kru kapal berkenaan.
Untuk rekod, flotila GSF ditubuhkan bagi memecah sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan makanan serta ubat-ubatan, susulan pengisytiharan kebuluran di wilayah itu.
Sebelum ini, sebuah kapal lain milik GSF, Madleen, pernah dirampas tentera Israel ketika menghampiri Gaza pada Jun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








