Sukarelawan Malaysia dalam Global Sumud Flotilla ke Gaza hanya makan sekali sehari
KUALA LUMPUR – Sukarelawan dan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza, Palestin berkongsi bahawa mereka hanya mengamalkan rutin makan sehari sekali bagi menjimatkan bekalan dan fokus kepada misi bantuan.
Perkara itu dimaklumkan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) menerusi kiriman suara kepada sahabatnya, Syahril A. Kadir yang juga bekas wartawan jenayah terkenal.
“Mengenai makanan, kami makan sehari sekali. Biasanya pasta, ada juga nasi dan telur.
“Makan sehari sekali membantu menjimatkan gas dan kerana keadaan di kapal kadang-kadang tidak membenarkan kami memasak terlalu banyak.
“Kami sibuk menguruskan pelbagai perkara dan bergilir-gilir melakukan tugasan harian seperti mencuci dek, basuh pinggan dan membuat live di TikTok,” katanya sambil menambah kebanyakan sukarelawan mengalami penurunan berat badan kerana situasi itu.
Menurut ZRA lagi, kesemua 53 kapal kini sedang bergerak dan dijangka akan memasuki kawasan perairan Gaza dalam masa empat hari lagi.
“Apa yang boleh kami lakukan sekarang adalah teruskan tekad. Semua orang memang bersemangat tanpa memikirkan sebarang halangan.
“Jika berlaku sebarang halangan, itu adalah takdir. Fokus kami tetap untuk memastikan semua barang iaitu makanan, perubatan dan yang paling penting, sokongan moral kami sampai ke Gaza,” katanya lagi.

Berkongsi lebih lanjut, ZRA memberitahu, mereka hanya berdepan keadaan laut bergelora dalam tempoh empat jam pertama pelayaran.
“Selepas itu, keadaan laut kembali tenang. Laut Mediterranean pada bulan September dianggap bulan paling sesuai untuk belayar, memudahkan perbincangan dan aktiviti dalam flotila.
“Masuk pertengahan Oktober, barulah dijangka musim angin kencang bermula,” ujarnya yang mengakui tidak mengalami mabuk laut kerana mempunyai pengalaman memancing sebelum ini.
Flotila ke-38 itu adalah yang terbesar dalam sejarah 17 tahun Freedom Flotilla ke Palestin dan disertai oleh Sumud Nusantara.
Dalam pada itu, beliau turut memohon rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaan misi mereka agar semua bantuan sampai ke destinasi sekaligus memberi sokongan moral kepada rakyat Palestin.
Sementara itu, Syahril meluahkan rasa sebak dan bangga dengan keberanian peserta Global Sumud Flotilla itu.
“Apabila Abg Nal dan Ilham nekad menyertai Sumud Flotilla, sejujurnya saya sebak. Saya tahu rejim di sana tidak mengenal erti kemanusiaan dan nyawa mereka sentiasa berada dalam bahaya. Belum tentu mereka akan kembali.
“Salute buat semua yang bertarung nafas dan bersukat nyawa ke bumi Gaza. Insya-Allah, syurga menanti kalian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








