Anwar gesa semua aktivis Malaysia yang ditahan Israel dibebaskan segera
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa yang ditahan rejim Zionis dibebaskan dalam kadar segera.
Perdana Menteri berkata, ia susulan maklumat diperoleh daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla awal pagi tadi.
“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.
“Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, dengan menyekat misi kemanusiaan itu, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.
Anwar berkata, flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia.
“Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
“Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat.
“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” katanya.
Sementara itu Anwar turut menegaskan selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








