AGAMABERITA SEMASA

Jangan perlekeh usaha misi Global Sumud Flotilla tapi doakan mereka – Ustaz Azhar Idrus

KUALA LUMPUR – Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menegaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya memperlekeh atau meremehkan usaha sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Beliau menekankan bahawa sekiranya seseorang tidak mampu turun sendiri menghulurkan bantuan, maka cara paling mudah dan penting untuk dilakukan ialah mendoakan keselamatan serta keberkatan perjuangan mereka.

“Kita jangan hanya jadi tukang sibuk, kita perlu jadi tukang doa agar mereka (sukarelawan) itu selamat.

“Kalau tak boleh buat benda baik, jangan kita larang buat benda baik. Kita doakan agar mereka selamat kerana kita wajib menolong saudara kita yang dalam kesusahan,” ujarnya menerusi video di media sosial.

Menurut beliau, dalam perjuangan menolong saudara seagama yang sedang ditimpa kesusahan, setiap bentuk sokongan adalah bermakna sama ada melalui sumbangan tenaga, kewangan mahupun doa.

Bahkan, jelasnya lagi, andai ada sukarelawan yang terkorban ketika melaksanakan misi tersebut, mereka tergolong dalam kalangan syahid di jalan Allah.

Ustaz Azhar turut mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai keupayaan yang berbeza, namun itu bukan alasan untuk berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.

“Kita memang tak mampu hantar kereta kebal sebab kita orang awam.

“Kita tidak mampu hantar jet kerana kita orang awam. Tapi sekadar menghantar bantuan makanan atau sokongan seadanya, itu tetap wajib dilakukan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button