Air mata penyair Itali saat menemui kehebatan solat di tepi Laut Catania
CATANIA, Itali – Solat bukan sekadar ibadah, malah penawar yang mampu merawat luka jiwa. Itulah yang dialami penyair Itali, Yuliano ketika menyertai latihan intensif bersama ratusan aktivis dalam Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla menuju Gaza, Palestin.
Menurut catatan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad yang dikongsi di akaun Facebook ZRA Strim, Yuliano pada awalnya hadir sebagai peserta latihan yang berlangsung di sebuah gereja pinggir desa Catania sejak 1 September lalu.
Anak kelahiran Bari itu bukanlah orang biasa – beliau memiliki dua sarjana dalam bidang Sains Politik serta Negosiasi Politik selain dikenali dengan kepetahannya berpuisi sambil memetik gitar. Namun, kegagalannya tersenarai dalam 150 peserta akhir untuk belayar ke Gaza menjadi tamparan yang berat buat dirinya.
“Pada hari-hari terakhir, Yuliano berada pada titik terendah kerana gagal disenaraikan ke Gaza. Namun, saat melihat jemaah Islam bersolat di tepi pelabuhan, beliau mendekati seorang imam dari Austria berdarah Turki dan meminta diajar bagaimana untuk bersolat,” tulis Zainal.
Imam itu hanya berpesan ringkas: “Pejam mata dan nikmati perjalanan solat.”
Dengan penuh rendah hati, Yuliano berdiri sebagai makmum, mengikuti setiap pergerakan solat. Air matanya mengalir tanpa disedari, seolah-olah seluruh beban yang ditanggungnya terangkat seketika.

Rakan-rakan dari Malaysia yang turut serta dalam flotilla segera memeluknya, memberikan sokongan di saat hatinya paling rapuh.
Zainal mengakui pengalaman itu mengingatkannya kepada zaman mudanya sebagai seorang hippie yang ‘hilang arah’ sebelum kembali mendekati agama melalui jemaah tabligh.
“Saya bisikkan kepadanya, pada hari pertama kita berjumpa anda seorang penyair hebat. Hari ini, selepas solat, anda menangis kerana menemui sesuatu,” katanya.
Bagi Zainal, kisah Yuliano adalah gambaran fitrah manusia yang sentiasa mencari ketenangan, terutama ketika berdepan tekanan hidup.
“Semakin kusut kehidupan, semakin kuat manusia mencari titik sejahtera. Yuliano mahu ke Gaza kerana hatinya penuh romansa kemanusiaan. Namun, laungan azan dan ketenangan solat berjemaah di tepi pantai itulah yang akhirnya menyentuh jiwanya,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar menghargai solat sebagai anugerah paling berharga daripada Allah SWT yag menjadi rahsia ketenangan dicari seluruh manusia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








