Belanjawan 2027 paling signifikan dalam sejarah negara – Amirudin
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai belanjawan paling signifikan dalam sejarah negara kerana mengimbangi tanggungjawab fiskal dengan keperluan menjaga kebajikan rakyat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, belanjawan berjumlah RM510 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mencerminkan nilai Malaysia MADANI menerusi penekanan terhadap ihsan, kemampanan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, peruntukan RM72.9 bilion bagi subsidi termasuk BUDI95, BUDI Diesel serta peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menunjukkan komitmen kerajaan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Peruntukan sebanyak RM47.7 bilion bagi sektor kesihatan dan RM69 bilion untuk pendidikan, masing-masing meningkat RM1.2 bilion dan RM2.8 bilion, akan mengukuhkan perkhidmatan asas kepada rakyat serta melindungi keperluan petugas kesihatan dan komuniti pendidik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyambut baik langkah menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, selain kerangka pendapatan baharu yang merangkumi gaji minimum pekerja separa mahir serta graduan sebanyak RM2,500 sebulan.
“Pendekatan itu berupaya membina daya tahan individu dan keluarga supaya mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan untuk menikmati kehidupan lebih selesa,” katanya lagi.
Amirudin berkata, Selangor turut menyambut baik peningkatan pinjaman dan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada RM57 bilion, memandangkan sektor berkenaan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
Beliau turut mengalu-alukan langkah reformasi tatakelola termasuk cadangan Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan, penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia serta komitmen mendedahkan maklumat projek dan perolehan kerajaan kepada umum.
Menurutnya, usaha itu penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat dan sektor perniagaan terhadap pengurusan negara.
Bagi Selangor, beliau turut menyambut baik peruntukan RM100 juta untuk meluaskan Empangan Batu dan Klang Gates serta kolam takungan bagi menangani isu banjir kilat.
Selain itu, pembinaan Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang dan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Khazanah bagi membangunkan potensi industri semikonduktor turut dialu-alukan kerana berpotensi mengembangkan industri pembuatan tempatan.
Amirudin turut berkata, kerajaan negeri bersedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala perancangan dalam Belanjawan 2027 dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat rakyat Selangor dan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








