Global Sumud Flotilla selamat tiba di Tunisia
KUALA LUMPUR – Kumpulan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu selamat tiba di Tunisia, awal hari ini.
Berita itu dimaklumkan Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan dan penyanyi Zizi Kirana di media sosial mereka.
“Alhamdulillah, selamat sampai di Tunisia selepas lapan hari belayar. Warga Tunisia menyambut kami dengan sambutan yang meriah.
“Terima kasih wartawan dan jurukamera yang berada di lokasi. Semoga Allah redha,” tulisnya PU Rahmat di Facebook beliau.

Tambah beliau, pihaknya meminta izin untuk berehat sebentar selepas pelayaran yang memenatkan.
“Selepas lapan hari di laut, hari ini pertama saya mandi dan menjamu selera makanan panas.
“Nak mengadu lebih tak terungkap kerana mengenang rakyat Gaza,” katanya lagi.
Sementara itu, Zizi melahirkan kesyukuran kerana selamat tiba di perairan negara tersebut, namun menunggu masa yang sesuai untuk berlabuh di Pelabuhan Sidi Bou Said.
“Alhamdulillah, kita sudah sampai di Tunisia sebenarnya cuma kita tidak boleh lagi berlabuh kerana keadaan air yang cetek.
“Jadi kita tengah cari tempat ‘parking’ umpamanya sebab ada kapal besar agak sukar untuk berlabuh.
“Jadi kita sama-sama bekerjasama mencari tempat yang sesuai, Insya-Allah,” katanya.
PU Rahmat dan Zizi merupakan salah seorang peserta misi kemanusiaan GSF mewakili Malaysia bersama wakil dari 44 negara bekerjasama dalam menghantar bekalan buat penduduk Gaza di Palestin.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, mereka sedang melancarkan kutipan dana tambahan segera dengan sasaran RM500,000 bagi kelancaran misi berkenaan.
“Kapal-kapal ini akan (telah) berlabuh di Tunisia hari ini untuk dibaiki dan mengisi barang keperluan sebelum berlepas semula menuju ke Gaza.
“Dana tambahan juga akan digunakan untuk kos logistik kapal lain di Itali dan Tunisia.
“Dana segera diperlukan dalam memastikan perjalanan GSF ini berjalan dengan lancar dan berjaya sampai di Gaza,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai boleh melakukan sumbangan di https:// cintagaza.my/sumudnusantara bagi membantu kejayaan misi GSF itu.
Menjengah ke laman Instagram Sumud Nusantara, ribuan penduduk tempatan berhimpun di Pelabuhan Sidi Bou Said bagi meraikan ketibaan kapal-kapal misi kemanusiaan GSF dari Barcelona dan Itali sebagai tanda solidariti kepada rakyat Gaza.
Kapal dari Barcelona akan bergabung dengan kumpulan yang ditempatkan di Catania, Itali dan Tunisia di pelabuhan berkenaan sebelum meneruskan misi ke destinasi akhir, Gaza.
Misi kemanusiaan GSF terbesar dalam sejarah dunia itu menyaksikan lebih 1,000 aktivis dari 44 negara mempertaruhkan nyawa merentasi Laut Mediterranean untuk memecah sekatan dikenakan Israel terhadap Gaza.
Kumpulan itu yang belayar dengan lebih 50 kapal flotila membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang disekat sejak perang 7 Oktober 2023 meletus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








