45 jenazah rakyat Palestin diterima dari Israel di bawah perjanjian gencatan senjata
GAZA/ISTANBUL – Sebanyak 45 jenazah rakyat Palestin lagi telah diterima Kementerian Kesihatan Gaza semalam yang diserahkan Israel melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Ia menjadikan jumlah keseluruhan jenazah yang dikembalikan kini sebanyak 270 orang di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata, menurut agensi berita Anadolu.
Kementerian itu berkata, pasukan forensik kini telah mengenal pasti 78 jenazah dan sedang meneruskan pemeriksaan “mengikut prosedur serta protokol perubatan yang diluluskan” sebelum dokumentasi dan penyerahan kepada keluarga.
“Banyak jenazah yang dikembalikan menunjukkan tanda penderaan termasuk kesan pukulan, tangan terikat, mata ditutup dan kecederaan pada muka serta diserahkan tanpa identiti.
“Pasukan forensik terus bekerja demi memastikan proses identifikasi dilakukan dengan teliti,” menurut kenyataan rasmi kementerian tersebut.
Perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober itu melibatkan pertukaran tahanan dan mayat antara Israel dan Hamas, dimediasi oleh Turkiye, Mesir dan Qatar dengan pengawasan Amerika Syarikat.
Menurut laporan The Guardian, doktor di Gaza memberi amaran bahawa sebahagian jenazah menunjukkan bukti penyiksaan apabila hampir semua telah dibutakan dan menderita luka tembakan di kepala.
Kementerian turut menjelaskan bahawa kerana kemusnahan makmal forensik di Gaza dan sekatan Israel, proses identifikasi sangat mencabar.
Ramai keluarga hanya mengenal pasti jenazah melalui tanda fizikal atau pakaian mereka.
Sebelum gencatan senjata itu, Israel dilaporkan menahan 735 jenazah rakyat Palestin di kawasan yang dikenali sebagai “tanah perkuburan bernombor”, menurut Kempen Nasional Palestin bagi Mengembalikan Jenazah Syuhada.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza mengorbankan lebih 68,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,600 yang lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








