Malaysia kutuk, kecam pelan peluasan penempatan haram Israel di Wilayah Palestin Diduduki
KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pelan terbaharu rejim Zionis Israel untuk memperluas penempatan haram di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT), yang disifatkan sebagai tindakan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pelan bernilai USD2.3 bilion itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Konvensyen Geneva Keempat, malah dilihat sebagai usaha mengukuhkan lagi pendudukan haram Israel di wilayah Palestin.
Menurut kementerian itu, tindakan berkenaan mencerminkan pencabulan berterusan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta hak rakyat Palestin di wilayah berkenaan.
“Tindakan ini merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan cubaan terancang untuk memperkukuh pendudukan haram rejim berkenaan, serta menafikan hak-hak mutlak rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB menolak sekeras-kerasnya pelan berkenaan bagi mengelakkan ketidakstabilan yang lebih buruk di rantau itu serta menyifatkan tindakan Israel sebagai usaha menafikan hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka.
“Rampasan tanah Palestin yang berterusan dan peluasan penempatan haram hanya akan mengekalkan ketidakadilan, ketidakstabilan serta memburukkan lagi keadaan di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, Kementerian Luar memaklumkan, Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin.
“Malaysia menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin dan mengulangi sokongan berterusan terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








