Netanyahu umum menang perang, umum kejayaan operasi gempur Iran
TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan negaranya ‘menang besar’ dalam konflik bersenjata selama dua minggu dengan Iran, sekali gus menamatkan apa yang disifatkan sebagai dua ancaman utama terhadap keselamatan negara haramnya.
Pengisytiharan itu dibuat ketika Netanyahu berucap dalam majlis khas menandakan penamatan Operasi Rising Lion, satu siri serangan udara berskala besar yang menyasarkan pelbagai fasiliti strategik milik Iran.
“Dalam tempoh hanya 12 hari, kita telah mencapai kemenangan yang akan dikenang untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Antara kejayaan utama yang didakwa Israel sepanjang operasi tersebut termasuklah tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) yang berjaya memusnahkan kompleks nuklear bawah tanah Fordow, kemudahan sensitif milik Iran yang selama ini dipercayai memainkan peranan dalam program perkayaan uranium.
Dalam masa sama, Israel turut melancarkan serangan ke atas puluhan sasaran lain termasuk makmal penyelidikan ketenteraan, kemudahan pengeluaran kepala peledak, serta lokasi-lokasi strategik di seluruh wilayah Iran.
“Kami berjaya menghapuskan barisan kepimpinan tertinggi Iran dalam satu serangan terancang termasuk tiga ketua turus utama dan beberapa pegawai kanan,” jelas Netanyahu.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya terdapat cubaan oleh mana-mana pihak untuk menghidupkan semula program nuklear Iran, Israel tidak akan teragak-agak untuk bertindak dengan kekuatan yang sama.
Dalam ucapan yang sarat dengan mesej politik dan ketenteraan itu, Netanyahu turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang disifatkannya sebagai tokoh paling setia kepada Israel sepanjang sejarah hubungan dua hala kedua-dua negara.
“Presiden Trump adalah sahabat terbesar Israel yang pernah mendiami Rumah Putih. Sokongan luar biasanya telah membantu kita mencapai kemenangan ini,” ujar Netanyahu disambut sorakan hadirin.
Dalam pada itu, pemerhati antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik berskala lebih besar sekiranya tindak balas balas dendam dilakukan oleh Tehran dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








