BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Trump ke ASEAN peluang Malaysia tegaskan isu Palestin – Fahmi

SEPANG – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dianggap sebagai peluang terbaik untuk Malaysia menegaskan pendirian tegas dalam isu Palestin di pentas antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jemputan itu bukan atas kapasiti Malaysia semata-mata, sebaliknya dibuat kerana negara ini bertindak sebagai Pengerusi 10+1 negara-negara anggota ASEAN.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan menggunakan kesempatan itu untuk menyampaikan usaha sahabat-sahabat dalam Global Sumud Flotilla (GSF) kepada Trump.

“Kalau kita lihat sewaktu Presiden Joe Biden menjadi Presiden sebelum ini, Anwar tanpa segan silu secara berdepan menegaskan pendirian supaya tidak hipokrit dengan isu Palestin.

“Ini peluang baik untuk Malaysia menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berganjak dalam mempertahankan dan menyokong pembentukan negara Palestin.

“Kita sedang berusaha dengan banyak negara ketika ini, bukan atas isu agama, tetapi kebebasan sesebuah negara yang sepatutnya sudah lama merdeka dan perlu bebas seutuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusian Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza menerusi panggilan video di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di sini, hari ini.

Semalam, Anwar membidas pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di ibu negara, bulan depan.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia perlu bijak berun­ding dan mengatur langkah berstrategi di samping lantang bersuara dalam mempertahankan kebenaran.

Beliau berkata, buktinya, Malaysia tetap dihormati dunia ke­rana pendirian yang konsisten dalam mempertahankan keadilan termasuk menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Fahmi turut menggesa semua peserta yang terlibat agar terus menghasilkan kandungan mengenai misi berkenaan bagi memberi pencerahan kepada rakyat Malaysia tentang perkembangan sebenar.

“Teruskan hasilkan kandungan, insya-Allah akan menjadi tular,” katanya sambil menegaskan segala kandungan dan siaran langsung yang dibuat tidak akan disekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button