Dua aktivis Global Sumud Flotila dari Malaysia dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut – Peguam
ISTANBUL – Dua aktivis Malaysia, yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), dihantar ke sebuah hospital di Istanbul untuk menerima rawatan lanjut, hari ini.
Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin berkata, Ardell Aryana dan Haikal Abdullah diberi rawatan lanjut kerana mereka merupakan antara aktivis yang diperlakukan dengan kekerasan oleh rejim Zionis ketika ditahan.
“Ardell memaklumkan beliau mengalami tekanan darah rendah selepas insiden pemintasan. Ketika ditahan, rambutnya ditarik dan beliau turut ditumbuk di bahagian muka.
“Mungkin disebabkan itu keadaannya agak lemah dengan tekanan darah rendah. Haikal pula mendakwa beliau dipijak oleh tentera rejim Zionis di bahagian tangan sehingga menjejaskan beberapa jarinya. Beliau kini memerlukan rawatan lanjut,” katanya, hari ini.
Selain Ardell dan Haikal, Fahmi yang kini turut berada di Istanbul berkata, beberapa lagi aktivis Malaysia turut diperlakukan sedemikian, termasuk PU Rahmat, Heliza dan Hazwani Helmi.
Bagaimanapun, katanya, aktivis lain berada dalam keadaan sihat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Turkiye, semalam.
Tambah beliau, CENTHRA akan mengambil keterangan semua aktivis Malaysia sebaik mereka pulang ke tanah air berhubung kekejaman rejim Zionis terhadap mereka.
“Keterangan itu termasuk pengalaman mereka di atas kapal, ketika ditahan, sehinggalah dikeluarkan daripada Penjara Ketziot.
“Kronologi berkaitan penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan akan didokumentasikan. Jika bukti mencukupi, kami bercadang memfailkan aduan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi memberi tekanan kepada Israel.
“Sekiranya tekanan antarabangsa berjaya diwujudkan, tindakan lanjut termasuk siasatan dan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh diambil,” katanya lagi.
Sementara itu, Fahmi memberitahu, masih terdapat ira-kira 300 lagi delegasi GSF yang ditahan rejim Zionis di Penjara Ketziot, Gurun Negev berhampiran Beersheba.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








