BERITA SEMASA

Aktivis wanita Muslim dipaksa tanggal tudung, terpaksa minum air tandas

KUALA LUMPUR – Aktivis wanita Muslim yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza mendakwa mereka diperlakukan dengan kasar dan dipaksa menanggalkan tudung oleh tentera rejim Israel.

Salah seorang sukarelawan Malaysia, Iylia Balqis Suhaimi yang berkongsi pengalamannya menyifatkan layanan diterima di penjara Israel sebagai sangat menjengkelkan dan melampaui batas kemanusiaan.

“Mereka tidak melayan kami sebagai wanita berhijab. Malah, beberapa orang daripada kami dipaksa menanggalkan tudung,” ujarnya ketika ditemubual media tempatan di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye malam tadi.

Menurut beliau, prosedur yang dikenakan ke atas tahanan sengaja direka untuk memalukan dan menekan mental mereka.

“Mereka ada banyak protokol. Kononnya atas nama keselamatan, tetapi sebenarnya hanya untuk membuat kita rasa sangat menjengkelkan dengan diri sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, semua peserta dipaksa menukar pakaian di bawah pengawasan ketat sebelum dibawa ke ruang dapur kecil yang diterangi cahaya putih terang, seolah-olah untuk menekan emosi mereka.

23 aktivis Malaysia selamat tiba di Istanbul
23 aktivis Malaysia (gambar kecil) selamat tiba di Lapangan Terbang Istanbul malam tadi. 

“Apabila kami bertanya tentang ubat untuk seorang wanita yang sakit, mereka menolak.

“Jawapan mereka, ‘jika dia belum mati, maka tidak mengapa’. Kami akhirnya terpaksa minum air dari tandas untuk bertahan,” katanya lagi.

Iylia Balqis merupakan salah seorang daripada 23 rakyat Malaysia yang berjaya dibebaskan selepas ditahan rejim Zionis dalam misi tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abd Alim Araby mengesahkan kesemua aktivis Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul semalam.

“Semua delegasi telah diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pukul 6.45 petang waktu Malaysia, menggunakan penerbangan Turkish Airlines dan mendarat di Istanbul pukul 8.40 malam.

“Semua delegasi diuruskan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta pihak Kerajaan Turkiye,” katanya.

Bagaimanapun, media antarabangsa melaporkan masih ramai aktivis GSF belum dibebaskan termasuklah ketua misi, Greta Thunberg dari Sweden dan Thiago Avila dari Brazil.

Secara keseluruhan seramai 497 aktivis dari lebih 44 buah negara terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut yang bertujuan memecahkan kepungan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button