Wanita PN kecam tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis
KUALA LUMPUR – Wanita Perikatan Nasional (PN) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis menahan kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza.
Ketua Penerangan Wanitanya, Nurul Syazwani Noh berkata, tindakan zalim itu bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah mencerminkan keangkuhan kuasa yang tidak menghormati prinsip kemanusiaan sejagat.
“Misi ini disertai lebih 500 aktivis dari lebih 40 negara, termasuk rakyat Malaysia termasuk wanita-wanita hebat yang menjadi tulang belakang dalam gerakan kemanusiaan ini.
“Mereka bukan sekadar membawa bantuan fizikal, tetapi membawa semangat juang dan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak Palestin yang sedang menderita. Mereka mewakili wajah Malaysia yang prihatin dan berani berdiri atas dasar keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, tindakan Israel itu telah melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa termasuk San Remo Manual 1994 yang menjamin kebebasan pelayaran dan melarang sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.
Malah, katanya, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Mei 2024 turut mewajibkan Israel memastikan akses tanpa halangan kepada misi kemanusiaan ke Gaza.
“Perbuatan ini jelas mencabar kedaulatan undang-undang dan menafikan hak asasi manusia yang paling asas, iaitu hak untuk hidup.
“Lebih membimbangkan, kekejaman ini turut membahayakan keselamatan aktivis Malaysia yang berada di atas kapal tersebut.
“Sebagai negara yang berdaulat, Malaysia tidak boleh berdiam diri. Kita tidak boleh membiarkan nyawa rakyat kita terutamanya wanita-wanita sukarelawan yang berada dalam risiko hanya kerana keberanian mereka membawa suara kemanusiaan ke medan perjuangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menuntut pembebasan serta-merta semua aktivis termasuk rakyat Malaysia dan menggunakan sepenuhnya saluran diplomasi dan pengaruh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi memastikan misi flotilla dapat diteruskan sehingga bantuan kemanusiaan selamat tiba ke Gaza.
Pada masa sama pihaknya juga mahu. Malaysia menekan kuasa besar antarabangsa, termasuk Presiden Amerika Syarikat, untuk menghentikan tindakan melanggar undang-undang ini dan menjamin keselamatan semua aktivis, terutama sukarelawan wanita Malaysia yang kini menjadi simbol kekuatan dan ketabahan bangsa.
“Sekiranya usaha diplomasi dan desakan ini tidak membuahkan hasil dalam masa terdekat dan jika kuasa besar seperti Amerika Syarikat terus gagal menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan kekejaman Israel, Wanita PN menggesa kerajaan mempertimbangkan semula kesesuaian menerima lawatan Presiden Donald J. Trump ke negara ini.
“Kami menyatakan bantahan tegas terhadap kehadiran beliau ke Malaysia, khususnya ke Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang, sekiranya beliau terus berdiam diri dan enggan menggunakan kedudukannya untuk menghentikan kekejaman terhadap misi kemanusiaan ini.
“Malaysia mesti menunjukkan kepada dunia bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana kuasa yang membiarkan kezaliman berleluasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







