Penyertaan rakyat Malaysia dalam Global Sumud Flotilla atas keputusan sendiri
KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan penyertaan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza adalah atas keputusan dan prinsip individu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, bagaimanapun kerajaan akan terus memberikan bantuan sekiranya timbul sebarang masalah sepanjang pelaksanaan misi berkenaan atas beberapa pertimbangan.
“Keputusan menyertai GSF ini adalah keputusan berlandaskan prinsip individu tersebut yang ingin memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan Palestin dan juga Gaza. Maka, penyertaan mereka dalam program GSF ini adalah keputusan peribadi.
“Kita (kerajaan) ada menyumbangkan bantuan sekiranya permasalahan akan timbul. Ini adalah kaedah dan konsistensi kita tekankan.
“Jika sekiranya berlaku pelayaran semula oleh GSF sememangnya kita memberi pandangan yang lebih baik seperti apa yang saya jawab sebentar tadi bahawa pintu Rafah telah dibuka, maka elok kita hantar bantuan supaya ia dapat dirasai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Lukanisman berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang membangkitkan sama ada kerajaan akan menggalakkan rakyat menyertai GSF pada masa akan datang.
Menurut Lukanisman, sekiranya misi pelayaran GSF diteruskan pada masa hadapan, kerajaan berpandangan bantuan kemanusiaan wajar disalurkan melalui laluan yang lebih berkesan memandangkan pintu sempadan Rafah kini telah dibuka.
“Jika sekiranya berlaku pelayaran semula oleh GSF, sememangnya kita memberi pandangan yang lebih baik bahawa pintu Rafah telah dibuka, maka elok kita hantar bantuan supaya ia dapat dirasai,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan terus menyokong segala usaha untuk membantu rakyat Palestin termasuk dalam aspek pemulihan dan pembangunan semula Gaza.
Katanya, antara bantuan yang telah disalurkan Malaysia termasuk lampu solar, bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas lain.
Pada 25 Mei lalu, kesemua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza dilaporkan selamat tiba di tanah air.
Sebelum itu, Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan kesemua 50 kapal yang menyertai misi GSF 2.0 dengan membawa 430 aktivis kemanusiaan, termasuk 29 rakyat Malaysia, dipintas dan ditahan tentera Israel berhampiran perairan Cyprus pada 18 Mei lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















