BERITA SEMASA

Pemimpin kita bukan hanya pandai cakap, kecam tapi bertindak di belakang tabir

SEPANG – Usaha membawa pulang sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) membuktikan bahawa negara bukan hanya ada pemimpin yang pandai bercakap dan mengecam, tetapi tindakan dibuat di belakang tabir.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abd Alim Araby pada sidang media mengenai perkembangan terkini misi GSF, di sini malam ini.

“Ini harus diketahui rakyat Malaysia, kita tidak hanya mempunyai pemimpin yang bercakap dan mengecam, sebenarnya tindakan itu dibuat di belakang tabir.

“Malaysia dan Turkiye dijangka menjadi negara fasa pertama mengeluarkan delegasi dan usaha akan diteruskan untuk memastikan kumpulan dari negara lain turut selamat,” kata Sani.

Tambah beliau, pada peringkat awal, pihak ADALAH yang mewakili barisan perundangan Malaysia memang menghadapi fasa yang sukar.

“Mereka dinafikan untuk berjumpa. Proses negosiasi, walaupun kita dimaklumkan kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu dekat dengan misi ini kerana beliau tahu apa yang berlaku di belakang tabir.

“Akhirnya dengan tekanan yang diberikan oleh dunia, khususnya apabila Eropah bangkit, dunia bangkit, Malaysia bangkit dan ASEAN bangkit, kita diberi laluan untuk mewakilkan ADALAH ini berjumpa dengan delegasi Malaysia,” tambahnya.

Sani berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan, bersatu dan mendokong misi membawa pulang delegasi Malaysia ke tanah air. 

Sani turut merakamkan penghargaan di atas usaha keras oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memainkan peranan penting untuk membebaskan bukan sahaja delegasi Malaysia tetapi aktivis negara lain juga.

Dalam soal komunikasi pula, Sani memaklumkan bahawa tiada komunikasi langsung berlaku kerana semua telefon pintar dibuang ke dalam laut.

“Semua handphone itu mengikut SOP kita dicampak keluar bila mana kapten masing-masing merasakan inilah masanya.

“Mereka hantar SOS mesej bahawa kami betul-betul dah kena intercept. Sebab ia ada pusingannya. Mula-mula tentera Israel datang pusing, buat water cannon, bila mereka naik atas kapal, barulah sukarelawan buang telefon,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sani memberitahu, proses membawa pulang delegasi pula kini tertakluk kepada kerajaan Turkiye, yang sedang berusaha mempercepatkan perkara tersebut.

“Perdana Menteri beri jaminan dan komitmen beliau akan terus mengikuti dan mengetuai sendiri proses bawa pulang ini.

“Sebarang perkembangan, beliau terus langsung (berkomunikasi) dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

“Itulah fasa yang saya kira bukan senang. Jadi teruskan berdoa, teruskan bersatu dan mendokong kerana ini misi kita semua,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button