AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASAPMX

Malaysia perlu manfaat teknologi AI tingkat kesejahteraan rakyat – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi merapatkan jurang dalam pelbagai sektor utama di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, teknologi AI mampu memberi pelbagai manfaat dalam sektor seperti pembangunan, perusahaan kecil, perkhidmatan awam, kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata, negara kini berada di tahap penting dalam usaha memanfaatkan teknologi bagi membentuk hala tuju ekonomi, memperkukuh jati diri nasional, memelihara kepercayaan rakyat serta menetapkan kompas moral masyarakat.

“Kita bukan hanya mahu mengejar negara lain dalam bidang AI, tetapi turut berhasrat menjadi peneraju dalam beberapa bidang, mempertahankan nilai-nilai kita, serta memberi makna kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Sidang kemuncak dua hari itu turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Bakar; Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn serta delegasi dari ASEAN dan pakar-pakar industri global.

Terdahulu, Anwar melancarkan model AI multimodal pertama yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia, sebagai penyelesaian kecerdasan buatan berdaulat (sovereign AI) yang direka khusus untuk bahasa, budaya dan konteks tempatan.

Mengulas lanjut, Anwar turut memberi amaran terhadap kegagalan menangani jurang ilmu dalam bidang baharu boleh mengakibatkan perpecahan lebih besar antara golongan mahir dan tidak mahir.

“Apakah kita mahu terus kekal tidak mampu untuk mengangkat tahap pencapaian?

“Jurang itu akan menjadi nyata dan cabaran untuk negara ini akan menjadi lebih serius,” tegasnya.

Tambah beliau, rangka kerja Malaysia sebagai Negara AI akan memastikan manfaat teknologi itu dapat dirasai oleh setiap rakyat di seluruh negara.

Beliau berkata, rangka kerja itu merangkumi lima teras utama, iaitu dasar berpandangan jauh; tenaga kerja mahir digital; infrastruktur selamat dan boleh dipercayai; pembangunan kepercayaan digital serta pelaburan strategik melalui kerjasama awam-swasta dan kerjasama global.

“Kita telah membuat keputusan yang amat berani, dan saya bangga menyatakan bahawa kita kini berada di hadapan… dengan keyakinan dalam bidang pendigitalan dan AI.

“Kita juga mahu berkongsi serta bekerjasama dengan jiran-jiran di Asia Tenggara,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button