
RUU Kebebasan Maklumat dibentang di Parlimen tahun hadapan – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat di Parlimen, tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU yang bertujuan meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam itu telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan beliau, semalam.
“Mesyuarat bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025 ke arah meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam.
“Ia juga memastikan hak individu untuk akses kepada maklumat di bawah bidang kuasa Kerajaan terjamin dan terpelihara di sisi undang-undang,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat turut mengambil maklum tentang penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Langkah ini, katanya, diambil untuk menambahbaik imej dan persepsi negara berhubung tatakelola baik sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing.
“Adalah menjadi tekad Kerajaan untuk sentiasa memperkukuh agenda tatakelola baik negara, mempertingkat integriti dan memerangi rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Pada 26 September lalu, Shamsul Azri memaklumkan kerajaan bersetuju supaya Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ditubuhkan dan dipengerusikan oleh beliau.
Shamsul Azri berkata pasukan berkenaan antara lain berperanan menganalisis dapatan tinjauan CPI dan mencadangkan syor serta strategi reformasi institusi dan perundangan termasuk pemantapan mekanisme semak dan imbang.
Sebelum ini dilaporkan pasukan itu akan turut memantau rapat dan membuat tindakan susulan bersesuaian melalui inisiatif di bawah Strategi Pembantu Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















