BERITA SEMASAPMX

PM tegur pihak politikkan isu minyak global

BUKIT MERTAJAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu kenaikan harga minyak global ketika dunia sedang berdepan ketegangan geopolitik yang menjejaskan laluan serta bekalan tenaga antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik melibatkan serangan dan krisis di Asia Barat, masih terdapat pihak yang terus menyalahkan kerajaan tanpa memahami realiti sebenar situasi global.

“Ada orang guna kesempatan ini dalam keadaan ekonomi jatuh, minyak tersekat. Bukan salah kita, tetapi masih ada lagi beberapa orang pembangkang maki hamun kita dalam keadaan sekarang.

“Dunia politik ini perlu terkawal dan sepatutnya semua pakat mencari penyelesaian,” katanya ketika berucap pada Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di sini semalam.

Beliau berkata, ketegangan yang semakin memuncak termasuk serangan melibatkan Iran serta tindakan balas menggunakan peluru berpandu dan dron telah menjejaskan kemudahan serta laluan minyak dan gas termasuk di Selat Hormuz, sekali gus menyebabkan harga minyak dunia meningkat mendadak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan tetap mengekalkan harga bahan api pada kadar terkawal demi melindungi rakyat, walaupun banyak negara lain telah menaikkan harga.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan turut mengadakan mesyuarat khas Kabinet bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan langkah menangani kesan ekonomi dan keselamatan negara.

Perbincangan dengan Petronas juga diadakan bagi memastikan bekalan minyak dan gas mencukupi, dengan jangkaan minyak mampu bertahan sehingga Mei ini.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia turut dihubungi beberapa pemimpin dunia termasuk Narendra Modi serta pemimpin rantau ASEAN bagi membincangkan usaha meredakan ketegangan.

Beliau menegaskan pendirian Malaysia yang bebas dan berkecuali, namun tegas dalam memperjuangkan keamanan serta menolak sebarang bentuk keganasan.

Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak 28 Februari susulan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button