BERITA SEMASA

Kesatuan Mahasiswa UM sambut baik pemansuhan AUKU, mahu jaminan kebebasan bersuara

KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), namun menegaskan langkah itu perlu disusuli jaminan konkrit terhadap kebebasan bersuara mahasiswa.

Presidennya, Aiman Izzat Shamsuddin berkata, pemansuhan AUKU merupakan langkah awal yang positif dalam usaha memperkasa serta memperkukuh kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu memastikan pemansuhan itu tidak sekadar membabitkan pertukaran nama atau penggantian AUKU dengan akta baharu yang mempunyai kandungan dan pendekatan hampir sama.

“Kita bimbang sekiranya pemansuhan AUKU hanya menggunakan konsep ‘cabut dan tampal’ iaitu AUKU dimansuhkan tetapi digantikan dengan akta baharu yang serupa atau lebih tegar.

“Jangan sampai ia sekadar penjenamaan semula, sedangkan sekatan terhadap mahasiswa masih dikekalkan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan jaminan jelas bahawa kebebasan bersuara mahasiswa benar-benar diperkasakan melalui peruntukan undang-undang serta tindakan berterusan, bukan sekadar pengumuman.

Menurutnya, akta baharu yang bakal digubal perlu meletakkan autonomi mahasiswa sebagai antara perkara utama, termasuk memberikan ruang lebih luas untuk mahasiswa menyuarakan pandangan dan terlibat dalam isu berkaitan masyarakat serta negara.

“Apa yang kita harapkan ialah akta baharu nanti benar-benar meningkatkan kuasa dan autonomi mahasiswa, bukannya menjadi instrumen untuk menyekat atau menenggelamkan suara mereka,” katanya.

Aiman Izzat berkata, KMUM bersedia memberikan pandangan dan bekerjasama dengan kerajaan dalam proses penggubalan kerangka perundangan baharu bagi memastikan aspirasi mahasiswa diberikan perhatian sewajarnya.

“Sekiranya akta baharu diwujudkan menggantikan AUKU, kami mahu ada penglibatan mahasiswa dalam proses tersebut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button