Polis klasifikasi kes pelajar UM jatuh bangunan sebagai mati mengejut
KUALA LUMPUR – Kes kematian seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang maut selepas terjatuh bangunan kolej kediaman universiti itu semalam, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Pantai (IPD Brickfields) pada jam 5 petang tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 petang.
“Mangsa, lelaki tempatan berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam lebih kurang 4.25 petang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Baca juga : Pelajar UM maut jatuh di kolej kediaman
Beliau berkata, siasatan di lokasi dilakukan oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama pegawai penyiasat, selain percakapan saksi juga sedang diambil bagi membantu siasatan.
“Bedah siasat sedang dijalankan oleh pakar patologi PPUM bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







