
UM agih 785kg juadah bazar kepada golongan memerlukan
KUALA LUMPUR – Lebih 785kg juadah makanan dan minuman yang tidak habis dijual di bazar ramadhan diedarkan kepada orang ramai menerusi program MYSAVEFOOD@Ramadan 2023.
Menurut penyelaras program merangkap Pensyarah Kanan, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr. Rosazlin Abdullah, program yang dijalankan selama dua minggu itu telah berjaya menangani masalah jualan makanan yang tidak habis di jual oleh peniaga bazar khusunya di kawasan Bazar Ria Pantai Dalam, di sini.
“Makanan dan minuman yang tidak terjual oleh para peniaga dikumpulkan, ditimbang serta direkodkan sebelum diagihkan kepada penduduk di PPR Kerinchi.
“Satu pertiga makanan daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia untuk keperluan makanan penduduk dunia dibazirkan dan kebanyakkannya berakhir di tapak pelupusan sampah.
“Sedia maklum bahawa pengumpulan sisa makanan di tempat sampah akan menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti meningkatkan gas rumah hijau, pencemaran air dan kualiti tanah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, pelajar tahun 1 Fakulti Sains yang juga Ketua Bazar Ria Pantai Muhamad Sufyan Haziq, berkata, inisiatif tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peniaga-peniaga bazar.
Katanya, gerak-gerai yang bersetuju untuk menyumbangkan makanan atau minuman akan telah dibekalkan dengan tag bagi memudahkan proses pengecaman semasa kutipan makanan.
“Setelah berbuka puasa, para sukarelawan Universiti Malaya akan membuat rondaan untuk mengumpulkan makanan atau minuman yang tidak terjual dari gerai-gerai. Makanan dan minuman yang terkumpul kemudiannya akan ditimbang serta direkodkan.
“Makanan dan minuman akan dibungkuskan serta diagihkan kepada penduduk Blok A PPR Kerinchi. Penduduk seperti warga kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal akan diutamakan terlebih dahulu mengikut senarai nama yang diperoleh daripada wakil penduduk. Lebihan makanan atau minuman akan diletakkan di Dewan Terbuka untuk diambil oleh para penduduk,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, program yang disertai oleh 21 sukarelawan Universiti Malaya itu merupakan anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dengan kerjasama Kelab Sains Pengurusan Alam Sekitar (SPAS) Universiti Malaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








