UM diminta jelaskan trend pengambilan pelajar Perakaunan bagi tempoh 10 tahun
KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta Universiti Malaya (UM) memberi pencerahan lanjut mengenai data pengambilan pelajar bagi program perakaunan, khususnya melibatkan saluran UPU bersubsidi dan saluran bayaran penuh termasuk pelajar antarabangsa.
Beliau berkata, penjelasan Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan baru-baru ini telah memberi gambaran terperinci mengenai angka pengambilan bagi tahun 2025.

Bagaimanapun, beliau berharap maklumat bagi tempoh 10 tahun terdahulu juga dapat dilengkapkan bagi membolehkan orang ramai menilai trend peningkatan atau pengurangan peluang untuk pelajar tempatan.
“Saya telah meneliti angka terkini yang diumumkan oleh Naib Canselor selepas saya mempersoalkan angka ‘ajaib’ 85 tempat di bawah saluran UPU yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi pada 9 September 2025.
“Dengan penuh hormat, saya memohon jasa baik beliau untuk melengkapkan maklumat bagi tahun-tahun terdahulu berdasarkan jadual yang saya sediakan.
“Saya juga telah isi butiran untuk tahun 2025 berdasarkan angka yang diberi semalam,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menjelaskan, tujuan permohonan tersebut adalah bagi memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada orang ramai berhubung dasar pengambilan pelajar, khususnya melibatkan perbezaan antara saluran subsidi UPU dan saluran bayaran penuh.
Selain itu, beliau turut meminta kepastian sama ada 28 pelajar yang diterima melalui program perintis UM pada tahun 2025 akan dikenakan yuran penuh ataupun yuran di bawah skim bersubsidi UPU.
“Saya yakin Naib Canselor memang arif tentang data ini dan mampu memberi angka yang paling jitu, seterusnya memberi pencerahan kepada orang awam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







