BERITA SEMASADALAM NEGERI

UM buka jalan dua anak Kelantan ke menara gading

KUALA LUMPUR – Keprihatinan Universiti Malaya (UM) memberi sinar harapan kepada pelajar berpotensi yang berdepan kekangan kewangan apabila dua anak muda dari Kelantan akan menjejakkan kaki ke menara gading.

UM memaklumkan, impian Muhamad Hanif Haikal, seorang anak yatim yang sejak kecil mengalunkan azan di Masjid Chicha Tinggi, akhirnya tercapai apabila ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu.

Sejak kehilangan ayah pada 2019, Hanif dibesarkan dalam serba kekurangan oleh ibunya, Sarenimahzira atau lebih mesra disapa Zira.

“Walau bagaimanapun, berkat kegigihan, beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” menurut hantaran di Instagram rasmi UM semalam.

UM
Foto Instagram Universiti Malaya.

Kisah serupa turut dikongsi di Pasir Puteh apabila Nor Farah Aisah Zahet, anak ketiga daripada lima beradik, ditawarkan ke Fakulti Sastera dan Sains Sosial dalam bidang Sarjana Muda Geografi.

UM berkata, langkah Nor Farah hampir terhenti kerana masalah kewangan, namun berkat sokongan serta sumbangan yang dihulurkan, pintu ilmu kembali terbuka.

Menurut UM lagi, kedua-dua kisah tersebut membuktikan bahawa kesempitan hidup bukanlah noktah kepada pelajar berpotensi, sebaliknya cerminan keprihatinan universiti itu bersama sokongan masyarakat yang menyalakan semula obor harapan.

“Bantuan bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah turut menjadi inspirasi kepada ribuan pelajar lain untuk terus berusaha tanpa putus asa,” katanya.

UM menegaskan, setiap pelajar berhak mendapat peluang sama rata menuntut ilmu tanpa mengira latar belakang keluarga, sekali gus bertekad memastikan tiada bakat tercicir hanya kerana halangan kewangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button