BERITA SEMASA

Diaspora Melayu aset diplomasi budaya Malaysia di peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR – Diaspora Melayu berpotensi menjadi aset penting diplomasi budaya Malaysia dalam memperluas pengaruh bahasa, seni, adat dan warisan Melayu di peringkat antarabangsa.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, diaspora Melayu membawa identiti serta warisan budaya yang mampu menjadi penghubung antara masyarakat merentasi sempadan negara.

“Jika diplomasi rasmi menghubungkan kerajaan, diplomasi budaya pula menghubungkan manusia,” katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, Mohamad Shawali Badi; Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Razaimi Hamat serta Presiden Persatuan Melayu Polinesia Sedunia, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.

Aaron berkata, kewujudan masyarakat Melayu di luar negara bukan hanya tertumpu di rantau Alam Melayu, malah turut dapat dikesan di beberapa negara termasuk Australia dan Afrika Selatan.

Menurutnya, masyarakat Melayu di Kepulauan Cocos, Australia misalnya, masih mengekalkan identiti, kehidupan kampung, amalan Islam dan tradisi mereka.

Malah, masyarakat Cape Malay di Afrika Selatan turut mewarisi pengaruh bahasa dan kebudayaan Melayu sejak lebih 300 tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha mengenal pasti taburan diaspora Melayu di seluruh dunia masih berdepan cabaran berikutan ketiadaan pangkalan data antarabangsa yang seragam dan komprehensif berdasarkan etnik.

“Keadaan ini menunjukkan masih terdapat ruang yang besar untuk kita memperkukuh dokumentasi, penyelidikan dan pemetaan diaspora Melayu secara lebih sistematik,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata, data Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN DESA) menerusi International Migrant Stock 2020 merekodkan seramai 1.86 juta diaspora Malaysia di seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, angka itu merangkumi diaspora Malaysia secara keseluruhan dan tidak merujuk secara khusus kepada masyarakat Melayu.

Dalam pada itu, Aaron berkata, bahasa Melayu mempunyai sejarah panjang sebagai bahasa perhubungan dan pentadbiran di Alam Melayu, termasuk sejak zaman kerajaan Sriwijaya pada abad ketujuh Masihi.

Menurutnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjadi asas pembentukan bahasa bersama dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan latar budaya.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus memainkan peranan memelihara dan memperkasa warisan persuratan Melayu.

Usaha itu merangkumi pemeliharaan manuskrip Melayu, koleksi nadir, bahan bercetak serta sumber digital bagi memastikan khazanah persuratan dan warisan intelektual Melayu terus terpelihara untuk generasi akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button