Menteri Perpaduan kesal kesilapan pihak siar Jalur Gemilang tidak lengkap
GEORGE TOWN – Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang kesal dengan kesilapan pihak yang menyiar atau memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan yang tidak lengkap.
Beliau berkata, kesilapan demikian tidak seharusnya berulang kerana ia sesuatu yang tidak boleh diterima.
Tambahnya, beliau percaya agensi berkaitan telah mengambil tindakan sewajarnya namun kesalahan sedemikian sukar diterima kerana bendera adalah simbol kedaulatan sesebuah negara.
“Saya sangat kesal, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana sudah berapa lama kita menggunakan bendera ini, saya rasa semua orang terkejut mengapa sesuatu seperti ini berlaku.
“Jangan ulang lagi. Kita mahu negara yang sejahtera, damai, stabil demi kemajuan negara,” katanya selepas Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025, di sini hari ini.
Aaron menegaskan, kesilapan seumpama itu boleh mencetuskan keresahan awam dan menjejaskan semangat perpaduan yang selama ini dipupuk dalam kalangan rakyat selain dikhuatiri menimbulkan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Tambahnya, permohonan maaf yang telah dibuat oleh pihak terlibat merupakan langkah terbaik bagi meredakan keadaan, namun tindakan susulan bergantung kepada pertimbangan pihak berwajib.
Selasa lalu, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Sehari kemudian, akhbar Kwong Wah Yit Poh pula dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyiaran gambar Jalur Gemilang yang tidak lengkap di akaun Facebook rasminya, keesokan harinya.
Terbaharu, pengeluar makanan bayi, Singapore Lactation Bakes (SLB), tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan jalur gemilang tidak lengkap dalam video pelancarannya untuk SLB Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








