Orang Asal diseru aktif dalam KRT demi pembangunan
BANTING – Komuniti Orang Asal di seluruh negara diseru agar bekerjasama dan bergiat lebih aktif dalam aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi memperkukuh hubungan sosial dan semangat kejiranan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penglibatan dalam KRT dapat membantu masyarakat Orang Asal mendapat akses lebih luas kepada program pembangunan setempat.

“Kerajaan MADANI sentiasa mengiktiraf masyarakat Orang Asal sebagai sebahagian penting dalam pembentukan identiti negara serta memelihara kepelbagaian budaya yang menjadi aset kekuatan rakyat Malaysia,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia di Tadom Hill Resorts, di sini, hari ini.
Bertemakan ‘Pertahankan Bumi, Pulihkan Tanah, Hijauan Semula Masa Depan – Melalui Kearifan Orang Asal’, sambutan tahunan itu mengiktiraf sumbangan komuniti tersebut dalam memelihara alam sekitar dan warisan bumi.

Menurut Aaron, Rancangan Malaysia Ke-13 memberi tumpuan meningkatkan kualiti hidup Orang Asal termasuk semakan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi memperkukuh perlindungan hak dan darjat mereka.
“Kerajaan juga memberi perhatian terhadap isu pemilikan tanah, pendidikan, infrastruktur dan pemuliharaan bahasa, warisan lisan serta seni budaya,” katanya lagi.
Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited memperkukuh kerjasama strategik dengan pertubuhan masyarakat Orang Asal supaya dasar negara kekal inklusif dan memenuhi aspirasi komuniti itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








