BERITA SEMASA

Karnival Perpaduan Miri ketengah semangat perpaduan, kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia

MIRI – Kementerian Perpaduan hari ini telah melancarkan Karnival Perpaduan Miri bersempena dengan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Sarawak 2024.

Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, karnival itu merupakan satu platform yang mengetengahkan semangat perpaduan dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia.

Katanya, ia selaras dengan tema sambutan iaitu Perpaduan Dalam Kepelbagaian.

“Karnival ini adalah platform terbaik untuk menonjolkan perpaduan serta kesejahteraan hidup masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di Malaysia.

“Ia sekali gus mendidik masyarakat mendalami dan menghayati nilai perpaduan yang telah dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Perpaduan Miri yang diadakan di Bakam Point, di sini hari ini.

Katanya, SMP merupakan program utama di bawah kluster Semarak Perpaduan yang bertujuan untuk menyebarkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

“Melalui program sebegini, masyarakat pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi khususnya berkaitan adat dan budaya pelbagai etnik di negara ini.

“SMP mampu menjadi wadah perpaduan dan tapak integrasi baharu yang berkesan sehingga ke peringkat akar umbi untuk memperkukuh sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, siri jelajah SMP 2024 akan diteruskan ke negeri-negeri lain sehingga 29 Julai 2024 di mana turut melibatkan negeri Perlis dan Pahang.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru agar momentum kerjasama yang terbina menerusi siri jelajah itu diteruskan ke Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM).

Jelas beliau, kementerian menerusi agensi di bawahnya telah merancang 16 program utama sempena HKHM yang akan bermula pada Ogos sehingga September 2024 ini.

Antara program terbabit termasuk Konvoi Perpaduan dan Kenali Budaya Kita; Majlis Memperingkati Negarawan; Konvensyen Sekretariat Rukun Negara; Kembara Merdeka Anak Malaysia; Semarak Muzium Sungai Lembing; Program Bermalam di Muzium; Sambutan Anak Merdeka; Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional serta Kem Anak Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button