BERITA SEMASA

Hubungan Malaysia-Indonesia diasaskan nilai sepunya dari rumpun yang sama

JAKARTA – Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan istimewa kerana kedua-dua negara mempunyai persamaan yang terbentuk dari perkongsian ikatan sejarah, budaya, kulinari serta bahasa.

Menteri Perpaduan Negara, Daruk Aaron Ago Dagang berkata, hubungan tradisi antara kedua-dua negara yang diasaskan kepada nilai sepunya dari sudut rumpun yang sama perlu terus diraikan dengan semangat setiakawan yang utuh.

“Malaysia dan Indonesia memiliki kepelbagaian agama, kekayaan budaya dan tradisi yang menjadi nadi kekuatan memperkukuh integrasi nasional dalam kalangan rakyat.

“Penguasaan pengetahuan khususnya sejarah dan budaya negara merupakan perkara asas bagi seseorang warganegara untuk memahami, menghayati, mempunyai semangat jati diri bagi membina sebuah negara bangsa yang bersatu, kuat, harmoni dan berdaulat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan program Citra Nusa @ Indonesia: Kita Serumpun di Muzium Kebangkitan Nasional, di sini hari ini.

Program ini dirangka khusus dalam usaha mempromosikan konsep Malaysia MADANI serta selari dengan Piagam Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) iaitu Satu Visi, Satu Identiti  serta Satu Komuniti Penyayang dan Prihatin.

Kata Aaron lagi, pameran bermula 1 hingga 31 Ogos ini memberi fokus untuk meningkatkan kefahaman masyarakat Indonesia terhadap Malaysia khususnya dari aspek sejarah dan budaya sekaligus dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin antara dua negara.

Sempena program ini, turut diadakan Festival Kita Serumpun yang menampilkan persembahan kebudayaan, demontrasi  permainan tradisional, demontrasi kulinari dan program pendidikan muzium yang melibatkan penyertaan enam negeri dari Malaysia iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya berharap program ini akan menjadi satu rangsangan kepada masyarakat setempat khususnya di Kota Jakarta ini untuk berterusan menghayati erti sejarah dan ketamadunan melalui semua aktiviti yang dianjurkan.

“Penglibatan komuniti setempat melalui program seperti ini diharapkan dapat menjayakan objektif untuk meningkatkan semangat muhibah meraikan kekayaan budaya, dan sikap saling menghormati di antara satu sama lain,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button