BERITA SEMASA

PM Anwar dijangka rasmi Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan merasmikan Majlis Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan pada 25 Mei ini bertempat di Pusat Beli Belah Angsana Mall, Johor Bahru.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, sambutan yang akan membuka tirainya bermula esok sehingga 26 Mei itu menyasarkan kehadiran pengunjung seramai kira-kira 200,000 orang.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang,
berkata, sambutan yang diadakan bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam itu merupakan sambutan kali kedua setelah kali pertama diadakan di Kuching, Sarawak tahun lalu.

“Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan mampu menjadi wadah perpaduan dan tapak integrasi yang berlandaskan pendekatan terpilih serta berkesan sehingga ke peringkat akar umbi untuk memperkukuh sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan,” katanya.

Jelas beliau, pelbagai pengisian akitiviti menarik dan interaktif yang disediakan kepada para pengunjung seperti pameran Rumah KAMI yang merangkumi 22 rumah etnik, perkampungan orang asli pelbagai suku serta Jualan Rahmah.

Turut diadakan, Larian Uniti, permainan e-sports, pertukaran helmet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pengurangan kadar kompaun saman serta persembahan artis terkenal tanah air.

Sempena sambutan ini juga, KPN telah membuka pusat media di khemah Padang Akasia, berhadapan Pusat Beli Belah Angsana Mall bagi memudahkan para pengamal media mendapatkan maklumat terkini mengenai program-program yang sedang berlangsung sepanjang sambutan ini.

“Das KPN juga mengajak orang ramai khasnya kepada rakyat di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan.

“Sambutan ini adalah peluang yang sangat berharga untuk kita bersama-sama memperkasa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia seterusnya mengukuhkan tapak integrasi nasional berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button