Lelaki Rohingya direman 7 hari kes jumpa 2 guni tulang manusia
KANGAR – Seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Oktober depan, bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan rangka manusia, lapor BH Online.
Suspek berusia 38 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar di sini, pada jam 9.46 pagi sebelum dibawa keluar selepas prosiding permohonan reman selesai pada jam 10.09 pagi.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Natasha Rizal bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan pada jam 12 tengah hari semalam, di sebuah rumah di Kuala Perlis.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas telefon pintar berserta sekeping kad sim bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang pengakuan diperoleh daripada suspek yang mendakwa hanya mengetahui mengenai kejadian penemuan rangka itu melalui kumpulan aplikasi WhatsApp sahaja.
“Suspek bekerja sebagai buruh kontrak dan pernah bekerja di kawasan Sungai Limau serta Kota Sarang Semut, Kedah, sejak dua bulan lalu,” katanya.
Yusharifuddin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2022, namun ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif sebarang penyalahgunaan dadah.
Sebelum ini, media pada 29 September lalu melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Mohd Ilyas Mohd Islam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Untuk rekod, pada 26 Julai lalu, rangka tulang manusia pertama ditemui di dalam sebuah bungkusan guni yang sudah reput di kebun berhadapan kilang beras di Kampung Behor Mali, di sini, dan kes pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun guni putih kedua berisi sisa tulang manusia ditemui di kawasan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kira-kira 31.1 meter dari lokasi pertama pada 5 Ogos lalu.
Polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








