JENAYAH & MAHKAMAH

Penuntut universiti rugi RM32,115 diperdaya penyamar polis

KUANTAN – Gara-gara takut ditangkap atas dakwaan terbabit dalam kes pengubahan wang haram, seorang penuntut universiti berusia 18 tahun sanggup menyerahkan wang tunai dan barang kemas milik ibu bapanya sehingga mengalami kerugian RM32,115.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, DSP Azmi Mahmod berkata, mangsa mendakwa dirinya terbabit dalam kes pengubahan wang haram menerusi panggilan telefon yang diterima pada 7 Oktober lalu.

Menurutnya, individu terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum mengugut untuk menangkap mangsa sekiranya gagal mematuhi arahan yang diberikan.

“Suspek mengugut mangsa akan ditangkap sekiranya tidak mematuhi arahan diberikan, menyebabkan mangsa ketakutan sebelum diperdaya mengambil wang tunai dan barang kemas milik ibu bapanya konon untuk menyelesaikan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, mangsa kemudian dipercayai menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM32,000 kepada seorang wanita yang memakai pelitup muka di kawasan berhampiran sebuah pasar raya di Karak, Bentong.

Mangsa turut diarahkan supaya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ahli keluarga dan pihak lain.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun kira-kira pukul 6.20 petang, Sabtu lalu, berhampiran pasar raya berkenaan.

“Siasatan mendapati wanita itu dipercayai ditawarkan pekerjaan oleh sindiket penipuan dengan mendakwa dirinya dilantik sebagai anggota ‘Unit Tindak Khas Polis’. Suspek dipercayai diarahkan mengambil wang tunai dan barang kemas daripada mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak ketiga yang turut diatur oleh sindiket berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan sebenar wanita itu serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit.

Dalam kes berasingan di Bera, seorang pesara jurutera berusia 56 tahun mengalami kerugian RM660,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Bera, Zulkiflee Nazir berkata, mangsa mula berurusan dengan individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp pada 5 Februari lalu sebelum ditawarkan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan sebanyak 10 peratus.

“Mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut telah membuat pelaburan berjumlah RM660,000 dan membuat tujuh transaksi ke tiga akaun bank atas nama syarikat yang berbeza.

“Mangsa tidak menerima sebarang pulangan wang sepertimana yang ditawarkan dan telah menyedari dirinya telah ditipu apabila terus diminta untuk memasukkan wang,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button