BERITA SEMASA

Selangor wajibkan pusat data peroleh 30 peratus bekalan daripada syarikat tempatan – Amirudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor akan mewajibkan pusat data yang dibangunkan di negeri itu mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus rantaian bekalan, komponen dan perkhidmatan daripada syarikat tempatan bagi memastikan pelaburan teknologi tinggi memberikan manfaat langsung kepada ekonomi negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dasar itu bertujuan memastikan pelabur asing tidak membawa masuk keseluruhan rantaian bekalan dari negara asal mereka, sebaliknya turut membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai ekosistem industri berkenaan.

Menurutnya, dasar itu akan dilaksanakan terhadap pusat data yang bertapak di Selangor dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, dengan penyertaan syarikat bukan sahaja dari Selangor, malah Johor, Pulau Pinang dan negeri lain.

“Pelabur luar tidak boleh membawa masuk 100 peratus rantaian bekalan dari negara asal mereka. Kita mahu sekurang-kurangnya 30 peratus rantaian bekalan, komponen dan perkhidmatan diperoleh daripada syarikat tempatan Malaysia.

“Peranan kerajaan adalah menggubal dasar supaya pelaburan dan teknologi yang masuk benar-benar memberikan manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog sempena program iFUTURE 2026 – Special Series bertemakan Towards Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Amirudin berkata, pembangunan teknologi tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira sejauh mana teknologi berkenaan membantu menyelesaikan masalah rakyat dan meningkatkan kualiti kehidupan.

Katanya, Selangor turut menekankan keperluan pelabur bekerjasama dalam melatih serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan supaya rakyat berupaya merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Dalam usaha memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Google menerusi program AI Trailblazer untuk membangunkan penyelesaian teknologi bagi 10 jabatan kerajaan negeri.

Menerusi kerjasama itu, kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM5 juta, manakala Google menyumbang RM30 juta bagi membantu jabatan berkenaan memanfaatkan AI untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Bagaimanapun, Amirudin menegaskan bahawa pembangunan teknologi perlu disertai kerangka etika dan moral yang kukuh bagi mengelakkan kesan negatif terhadap masyarakat.

Beliau merujuk buku The Anxious Generation karya Jonathan Haidt yang membincangkan kesan penggunaan media sosial terhadap golongan remaja, termasuk ketagihan skrin, gangguan tumpuan, kesukaran memberikan perhatian, tingkah laku antisosial dan masalah tidur.

Menurutnya, penggunaan teknologi tanpa panduan etika yang jelas boleh mempengaruhi tingkah laku manusia, selain menjadikan media sosial medan penyebaran berita palsu dan fitnah.

Sehubungan itu, kerajaan negeri sedang menyiapkan Kertas Putih AI yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek teknologi, malah merangkumi etika penggunaan AI bagi memastikan kemajuan digital tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

Amirudin berkata, pendekatan terhadap teknologi perlu memastikan inovasi membantu manusia dan memudahkan kehidupan, bukannya menyebabkan manusia dikuasai teknologi.

Beliau menggunakan perbandingan antara karya fiksyen sains Star Trek dan The Matrix bagi menggambarkan dua kemungkinan tersebut, iaitu teknologi yang memanfaatkan manusia atau teknologi yang akhirnya mengawal kehidupan manusia.

“Kita mahu memanfaatkan teknologi seperti visi Star Trek, bukannya terperangkap dalam realiti The Matrix,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button