Malaysia serah aset MALBATT bernilai AS$10 juta kepada LAF
MARAKAH – Sebanyak 292 aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang digunakan dalam misi MALBATT di Lubnan akan diserahkan kepada Lebanese Armed Forces (LAF) secara berperingkat sehingga Januari 2027.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataannya berkata, aset berkenaan dianggarkan bernilai sekitar AS$10 juta (RM42 juta), merangkumi kenderaan serta pelbagai kelengkapan yang akan memberi manfaat kepada LAF dan masyarakat setempat.
Majlis simbolik penyerahan aset yang berlangsung di Kem Marakah, di sini, disempurnakan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim kepada wakil LAF, Brigadier General Engineer Bassem Saad.

Penyerahan aset menjelang pengakhiran penugasan MALBATT di Lubnan itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Anwar Udzir.
“Sebagai sebahagian daripada proses pengunduran, sebahagian aset MALBATT akan dibawa pulang ke Malaysia, dilupuskan di Lubnan dan sebahagiannya diserahkan kepada LAF.
“Bagi penyerahan ini, ia melibatkan 292 aset dianggarkan bernilai sekitar USD10 juta, termasuk kenderaan dan pelbagai kelengkapan yang akan diserahkan secara berperingkat sehingga Januari 2027,” menurut MINDEF.
Penyerahan aset itu turut mengambil kira keperluan serta manfaat kepada LAF dan masyarakat setempat, khususnya dalam aspek kebajikan, bantuan kemanusiaan dan usaha mengekalkan keamanan.
Penugasan Batalion Malaysia (MALBATT) dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bermula sekitar 2007 akan berakhir tidak lama lagi dengan keanggotaan semasa seramai 532 anggota (MALBATT- 850-13) yang menyumbang dalam menjaga keamanan antarabangsa di Lubnan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








