BERITA SEMASAPMX

PM hargai semua pihak jayakan F1 GP Bahrain 2026

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan diberikan kepada Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menjayakan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.

Beliau berkata, penganjuran perlumbaan berkenaan bukan sahaja mencerminkan kerjasama erat antara SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), malah turut memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Bahrain.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan kepada Malaysia dan SIC untuk menjayakan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, sekali gus mempererat persahabatan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

pm gp bahrain
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni seorang peniaga di kawasan G Hillstand sempena penganjuran F1 GP Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang semalam.

Menurut Anwar, kejayaan penganjuran perlumbaan itu turut didukung komitmen seluruh pasukan penganjur yang memastikan acara berkenaan berlangsung dengan lancar.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerja di belakang tabir, termasuk pemandu bas, anggota keselamatan, sukarelawan, peniaga dan petugas kebersihan.

“Salut kepada semua yang bertungkus-lumus, daripada pemandu bas, anggota keselamatan dan sukarelawan hingga peniaga serta petugas kebersihan, kerana di sebalik kemeriahan ini ada keringat dan kesungguhan mereka yang wajar kita hargai,” katanya.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada peminat F1 dari seluruh dunia yang hadir memeriahkan perlumbaan, khususnya rakyat Malaysia yang menyambut kedatangan tetamu dengan penuh kemesraan dan budi bahasa.

“Terima kasih kepada peminat F1 dari seluruh dunia yang hadir, dan terutamanya rakyat Malaysia yang memeriahkan perlumbaan serta menyambut para tetamu dengan penuh kemesraan dan budi bahasa.

“Kalian telah memperlihatkan wajah Malaysia yang mesra, terbuka dan kaya dengan semangat muhibah,” katanya.

Mengakhiri hantaran itu, Perdana Menteri berharap Malaysia dapat terus menerima kehadiran peminat dan pelumba F1 di Sepang pada masa akan datang.

“Semoga kita ketemu lagi di Sepang. Insya-Allah!” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button