BERITA SEMASAPMX

PM lancar Halaqah Ilmu MADANI, tegaskan peranan ulama perkasa agenda pembaharuan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Halaqah Ilmu MADANI dalam acara Malaysia Bermunajat yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya malam tadi.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan peranan besar ulama Nusantara yang suatu ketika dahulu kembali dari Mekah dan menyebarkan Islam ke tanah air.

“Mereka membuka pondok dan madrasah sebagai institusi pendidikan, sekali gus menjadi benteng akidah umat serta meniup semangat perjuangan kemerdekaan.

“Tiada perubahan tanpa kefahaman dan kekuatan ilmu. Apatah lagi jika hanya bergantung kepada semangat menghina atau merosakkan keamanan,” ujar beliau melalui hantaran di Facebook.

Majlis turut dihadiri para ulama dan pelajar dari pelbagai madrasah dan pondok di negara ini.

Tambahnya lagi, Malaysia sebagai sebuah negara MADANI mestilah terus memacu kemajuan namun berteraskan kekuatan agama, nilai dan akhlak sebagai pangkalan utama.

Sehubungan itu, peranan ulama dianggap kritikal dan penting dalam memberi pencerahan serta kefahaman kepada umat demi mendorong pembaharuan yang bermakna.

Majlis turut dihadiri pendakwah tersohor dari Pakistan, Maulana Tariq Jamil, para ulama, tuan guru pondok dan madrasah yang sebelumnya menyertai Muzakarah Umara dan Ulama Pondok Kebangsaan (UMRAN).

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada para ulama dan hadirin atas doa yang dipimpin oleh Baba Abdul Rahman Abdul Kadir dari Madrasah Irfan Al Islamiah serta ucapan dan harapan yang dikongsikan oleh Syeikh Wazir Che Awang mengenai masa depan Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button