Abang Belon’ nekad lawan, buat laporan polis
KUALA LUMPUR – “Saya akan lawan kerana ini zalim. Saya cuma cari sesuap nasi untuk keluarga.”
Itu luahan peniaga belon, Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’ yang nekad tampil membuat laporan polis susulan insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), baru-baru ini.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 11.09 pagi, dengan ditemani ibu bapa, peguam Rafique Rashid, aktivis Che’gu Bard dan Dr. Mohd Hafidz Rizal.
Menurut Zaimuddin, dia hanya berniaga secara sambilan sempena Ramadan dan Aidilfitri memandangkan kerja tetapnya sebagai kedi golf tidak banyak ketika ini.
“Saya hendak berubah dan mahu keluar dari kemiskinan. Tapi apa yang berlaku sangat menyedihkan.
“Saya harap pihak berkuasa lebih berperikemanusiaan dan ikut undang-undang,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan, termasuk Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sudi melawatnya di hospital.
“Saya minta maaf kepada ibu, ayah, kakak dan adik saya. Saya juga doa agar yang mengecam saya tidak akan lalui apa yang saya rasa,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular video memaparkan insiden pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman, kira-kira pukul 11.30 malam.
Akibat kejadian itu, Zaimuddin dilapor mengalami kecederaan pada tulang belakang.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dua daripada tiga kertas siasatan berkaitan insiden itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan 325 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








